Wednesday, May 8, 2013

MALAYSIA BERJAYA

Ucapan Pegawai Memerintah Sempena Tamat Pilihanraya Umum Ke 13.

Bismillahirohmanirohim, Assalamualaikum dan salam sejahtera

Setinggi-tinggi tahniah kepada Barisan Nasional yang sekali lagi mendapat mandat majoriti untuk memerintah negara kita bagi 5 tahun akan datang. Kepada calon-calon dan parti politik yang menang diucapkan tahniah. Kepada yang gagal, lupakan peristiwa pahit ini untuk berusaha dengan lebih gigih lagi di masa akan datang. Ingatlah janji dan manifesto yang dijanjikan dan penuhinya secara berperingkat-peringkat. Berkhidmatlah demi Agama, Bangsa dan Negara. Lupakanlah perselisihan semasa berkempen, MASA INILAH untuk kembali bersatu tak kira BN atau pun PR bagi meneguh dan memajukan negara kita. Janganlah sia-siakan harapan rakyat.

Ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Dato' Wira Hj Idris Haron yang telah dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu. Saya mengenali beliau sejak beliau berkhidmat sebagai YDP Majlis Perbandaran Alor Gajah sekitar Tahun 2002 dan seterusnya satu maktab ketika menunaikan fadhu Haji pada Tahun 2009. Beliau adalah merupakan satu-satunya `wakil rakyat' sejati yang sepatutnya dicontohi oleh semua wakil rakyat khususnya ADUN di tempat saya iaitu DUN Mahkota Kluang, yang saya kategorikan sebagi kurang mesra rakyat khususnya kepada anggota ATM. Kepada YAB Dato' Wira Idris, semuga Allah swt meredhoi perjuanganmu dan memudahkan urusan dalam mentadbirkan negeri tertua di Malaysia.

Setinggi-tinggi tahniah juga diucapkan kepada YB First Admiral (R) Hj Imran Hj Abdul Hamid yang telah berjaya sebagai Ahli Parlimen Lumut. Beliau merupakan satu-satunya dan yang pertama bekas penuntut Armed Forces Apprentice Trade School (ex-AFATS) yang memenangi piliharaya dan bakal menjadi Ahli Parlimen. Semuga Allah swt meredhoi perjuanganmu dan terus berjuang.

Kepada rakyat saya (61 RAD), mohon tiada lagi perdebatan parti politik manakah yang terbaik dan patut dipilih. Majoriti kita adalah dari kaum bumiputra dan masih ketinggalan dalam aspek segala-galanya, samada pendidikan ataupun ekonomi. Kita semua hanya dapat membantu memajukan negara dengan tangan empat kerat bagi mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara. Tetapi fikikan masa depan generasi kan datang iaitu generasi anak-anak kita. Mungkin kita masih jauh untuk menguasai ekonomi, tetapi kita masih boleh meningkatkan penguasaan dalam aspek pendidikan. Dengan itu berikanlah fokus kepada anak-anak kita khususnya dalam aspek pendidikan.

Melihat kepada trend pengundi-pengundi pada PRU13 dan laporan-laporan post-PRU kita telah maklum akan trend pengundi khususnya pengundi Cina. Namun MASA INILAH untuk menautkan kembali rakyat negara kita menjadi satu bangsa Malaysia yang bersatu. Keperitan sejarah lalu (13 Mei) perlu dijadikan panduan. Mahukah kita sejarah lalu berulang? Tentu sekali-kali tidak. Saya percaya YAB Perdana Menteri dan bakal barisan kabinet maklum perkara itu dan mempunyai perancangan untuk merapatkan semula jurang yang sedia ada. Tsunami ini bukan bermakna majoriti kaum Cina membuang MCA atau Gerakan tetapi tentu ada ketidakpuasan yang menyebabkan kaum Cina yang juga ahli Parti MCA dan Gerakan menolak BN. Saya percaya kedua-dua parti ini akan bangkit di masa depan.

Pengalaman saya khususnya pernah berkhidmat sebagai Pegawai Pemerhati Terntera dalam Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Republik Liberia (MILOBS- UNMIL), perang saudara dinegara-negara Afrika sebelum dan masa kini adalah disebabkan perbezaan parti politik. Khususnya negara Liberia, perang saudara berlaku kerana sudah tiada rasional anatara parti pemerintah dengan parti pembangkang. Ini diburukan lagi dengan campur tangan negara-negara jiran tetangga yang berkepentingan. Mereka sanggup berperang berbunuhan antara satu sma lain disebabkan oleh parti ataupun `faction'. Walhal kebanyakan mereka adalah sebangsa dan seagama walaupun kemungkinan berlainan etnik dan suku kaum. Dengan itu, senario tersebut berkemungkinan akan berlaku sekiranya BANGSA MALAYSIA ini tidak disatukan. Sanggupkan kita membunuh saudara mara atau adik beradik kita kerana hanya perbezaan fahaman politik? Sedangkan semasa Konfrantasipun anggota keselamatan sebak apabila pencoroboh Indonesia melaungkan Allah Hu Akbar apabila di tembak mati. JANGANLAH GADAIKAN KEHARMONIAN, KEAMANAN DAN KESEJAHTERAAN NEGARA KITA.

Selain dari itu saya ingin mengingatkan semua anggota yang pertama; Kepada anggota yang tidak mempunyai kelulusan SPM sila membuat persiapan dari sekarang untuk mengambil peperiksaan berkenaan pada tahun 2014. Satu kursus intensif akan dilaksanakan pada tahun depan.

Kedua; SEXUAL HARASSMENT (gangguan seksual) adalah satu kesalahan jenayah, Memandangkan rejimen kita juga mempunyai ramai pegawai dan anggota wanita, jagalah pergaulan kita. Ada kalanya gurauan kita bukan gurauan kepada orang lain malah satu gangguan seksual kepada anggota wanita. Dengan itu ianya boleh disabitkan sebagai kes jenayah di Mahkamah Awam atau dipertuduhkan di bawah Seksyen 87 Akta Angkatan Tentera 1972.

Akhir sekali kepada anggota yang akan menyambut Hari Gawai dan bercuti di Sabah dan Sarawak, sila majukan nama dari sekarang untuk urusan cuti dan penerbangan.

Sekian, Wabillahitaufikwalhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Terima Kasih


No comments:

Post a Comment